Saturday 27 October 2012

Sajak JALANAN HIDUP


Tika mana ku termenung,
Sepi,
Bertemankan aliran sungai yang sayu,

Bersaksikan alunan indah sang burung,
Dan lembu yang meragut,
Angin pula membelai-belai wajahku,
Ku terfikir jalan hidupku,
Untuk apa aku diciptakan,
Dengan sebegini sempurna,
Apakah hanya sekadar hidup jua,
Hanya menikmati seenaknya hidup,
Hanya melahap apa saja makanan,
Hanya terbang bebas umpama burung,
Tentu,
Tidak sesekali begitu.

Ku selami diri,

Kenangkan hakikat diri bergelar insan,
Di mana kehambaanku pada Tuhan,
Lalaiku membuatku lupa,
Dan alpa lalu hanyut dalam,
Sungai sepi yang tiada berkata,
Terbuai puas buaian pohonan tinggi,
Ku,
Sedar acuan hidupku telah rebis,
Ibarat pasiran tebingan sungai,
Yang runtuh harga dan maruah,
Begitulah diriku,
Terbuai dan hanyut dengan nikmat hidup,
Hingga ku lupa taqarrub pada Dia,
Yang memiliki segala-gala,
Gunungan dosa dan banjaran derhaka,
Yang ku lakukan pada-Mu Tuhan,
Sepanjang kau kurniakanku hidup.

Tiada ku sedar,

Dingin air mata ini,
Mengalir kerana kederhakaanku,
Tangan dan jemariku bergetar,
Jantungku berdegup kencang,
Seperti memutuskan hayatku,
Lantaran salah silapku menerjah,
Benak fikirku yang cetek,
Namun berlagak dalam kehidupan,
Bagaimana jika Kau matikan aku,
Sedangkan tubuhku terpalit selut-selut,
Selut dosa yang hitam dan busuk,
Bagaimana jika Kau merenggut nyawaku,
Sedangkan aku lalai mengingati-Mu,
Ku takut Tuhanku,
Ku kembali pada-Mu sedangkan imanku goyah,
Sedangkan amalku tiada apa,
Ibarat habaa'an mantsuro,
Amal yang hanya terpalit riya' dan sum'ah,
Layakkah aku mendapat rahmat-Mu,
Dalam ketakutan ku tersungkur,
Di kaki langit yang beransur.

Tentu hidup bukan setakat itu,

Tidak sebagaimana makhluk-mu,
Yang bergelar binatang,
Aku tidak ingin menjadi lembu,
Yang hanya ditarik ke mana saja,
Tanpa faham erti,
Ku tidak ingin menjadi lalang,
Yang saban hari mengulik dibuai angin,
Ku tidak mahu menjadi lalang,
Yang tiada pendirian hidup,
Tika ku tersedar dalam hidupku,
Ku pohon pada-Mu,
Agar dapatku istiqomah mengubah diriku,
Ku tiada sedia kembali pada-Mu dalam,
Diriku yang berpalit getah dosa ini,
Lalu taubat pada-Mu ku pinta,
Berbekalkan tangisan keinsafan,
Ku tersungkur dalam sujud pada-Mu,
Tangan ini ku angkat ke hadhrat-Mu,
Agar Kau betulkan jalan hidupku Tuhan,
Dan murni hanya pada-Mu,
Biarlah ku kembali pada-Mu dengan selamat.







Karangan oleh:

PEDANG TIMUR BERKELANA,
Sabtu, 12 Dzulhijjah 1434 Hijrah = 27 Oktober 2012 Masihi,
Jam 10.47 malam,
Georgetown,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment