Wednesday 30 May 2012

BUATMU DINDA


Tika diri ini mencari-cari hakikat diri,
Engkau hadir dihantar Ilahi,
Mengiringi perjalanan di sisi,
Jiwa yang seiring sejalan sefahaman,
Membantu menuntun diri ini,
Kembali ke landasan asli,
Kerna dinda memang pasangan ini.

Namun hadirmu seketika jua,
Setelah jiwa keras ini berjaya kau lembutkan,
Dan kita serasi bersama dalam perjalanan,
Sefahaman jua mempunyai impian,
Lalu timbul kasih yang tak terancang,
Kerna hadirmu bukan dicari,
Tapi dihantar ke sisi.

Merindulah diri saban hari,
Menanti khabar dari diri di sana,
Penyatuan adalah syarat untuk penzahiran lain,
Sampai di suatu persimpangan,
Yang amat sukar buat kanda memilih,
Dalam sebak sayu dan sedih kanda termenung,
Pilihan diberi sangatlah berat,
Dan tak terduga sebegitu sekali,
Dalam beratnya nak memberi,
Keputusan yang akan menentukan,
Suatu amanah yang telah diambil,
Hendaklah dipertahankan,
Lalu kecewalah hati-hati ini,
Dinda berduka membawa diri,
Kanda berduka merenung diri.

Namun diharap dinda hadirlah kembali,
Dipohon pada Ilahi tidak terperi,
Agar kembalinya ia pada diri,
Hati kanda merindu sepi,
Kembalilah dinda.

Oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD ASY-SYALUKI,
Khamis, 31 Mei 2012 Masihi bersamaan 10 Rejab 1433 Hijrah,
Georgetown, Pulau Pinang
Jam 7.30 pagi...

Monday 7 May 2012

KERINDUAN


Dalam kerinduan ku teringatkan dirimu,
Lalu namamu ku sebut-sebut selalu,
Ku serapkan ia ke hatiku,
Biarkan ia menusuk dalam ke lubuk qolbuku,
Jauh ke dasar qolbu yang dalam,
Sehingga menggegarkan istana syaitan di dasar,
Biarlah bersatu rindu dan namamu,
Dengan nur memancar ku harapkan ia.

Hati yang benar merindu pasti sangat mendambakanmu,
Sangat ingin memandang dan menatap wajahmu,
Melepas kerinduan yang telah lama membuku,
Cukuplah walau sekali memandangmu,
Ku selalu doakan untuk menatapmu,
Duhai kekasih Allah yang teragung,
Namun qolbuku terpalit dengan sifat buruk diriku,
Tiadalah hadir dirimu dalam mimpiku.

Lidah ini mengucapkan selawat dan salam padamu,
Perintah Yang Maha Agung firmankan itu,
Innallaha wamala ikatahu yu shollu na ‘alan Nabi,
Ya ayyuhalladzi na amanu shollu ‘alaihi wasallimu taslima,
Turunlah rahmat bagi mereka yang selawat atasmu,
Yang tenggelam dalam zhouq kecintaan,
Lupa ia pada apa yang ia berada,
Hanya namamu meniti dan membasahi lidahnya,
Beruntunglah mereka itu menyebut namamu,
Selawat salam sentiasa atasmu jua.

Kerinduan ini menebal lagi,
Padamu duhai rahmat semesta,
Meronta-ronta hati mereka yang mengasihimu,
Yang sentiasa mengharapkan akan hadirmu,
Ke dalam mimpi-mimpi insan itu,
Walau dia seorang ‘ashi,
Pasti jua mengenangkanmu duhai kekasih agung.

Diri benar-benar merindu,
Kerinduan yang mengharukan jiwa-jiwa,
Menitis air mata ini mengenangkanmu,
Akan sifat dirimu yang suci mulia,
Yang sempurna akan kejadian,
Tiada yang lain dapat menandingimu,
Akan sifat kesempurnaan padamu,
Duhai kekasih izinkan kami rinduimu,
Biarlah kerinduan ini sampai padamu.
Bersama selawat kami yang langsung padamu,
Sesungguhnya kami umatmu,
Mengharap belas kasihmu,
Agar dikenali jiwa dan wajah-wajah kami,
Yang merindukanmu,
Agar dapat kami bersamamu di sana nanti,
Tika huru hara yang tak tertahankan,
Oleh sesiapa saja yang mengalaminya,
Jadikan kerinduan ini amat bernilai buatku,
Kerinduan yang terbalas untuk menatapmu,
Dan bersamamu di ketika itu.

Rindu seorang perindu kepada yang dirindui,
Tentulah disebut-sebut akan dianya,
Manakan mungkin seorang kekasih merindu lain,
Sedangkan pula yang lain,
Pembohonglah ia jika begitu,
Duhai jiwa yang mengaku,
Kembalilah ke asal landasanmu,
Dengan bernakhodakan makhluk termulia,
Pasti dirimu selamat pasti,
Menjadi saksilah di kemudian nanti,
Moga kerinduan ini terbalas jua,
Dengan dapat bersamamu di tika tiada pelindung,
Dari teriknya bala cubaan tika tak tersangka,
Berharga amatlah yang dapat bersamamu jua.




Oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD ASY-SYALUKI,
6 Mei 2012 Masihi bersamaan ..... Hijrah,
Sabtu, Jam 12.25 malam,
Teluk Pasu, Manir,
Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

KUALA IBAI


Di kuala menghadap lautan China Selatan,
Di negeri Terengganu ,
Darul Iman,
Kawasan landai di tepian sungai,
Di sebuah kuala pertemuan laut dan sungai,
Berbeting pasir di tengah sungai,
Payau masin airnya jernih mengalir,
Dengan pepohonan rhu yang melambai,
Dan angin yang setia menemani ombak pantai
Menghembus lembut melambai-lambai dedaunan,
Indah sungguh dan nyaman.

Di sebuah tasik yang sederhana,
Di dalamnya sebuah masjid yang indah,
Masjid Tengku Tengah Zaharah itu namanya,
Masjid Terapung itu gelarannya,
Berwarna putih suci warnanya,
Di laman yang indah tempatnya,
Kawasan laluan riadah yang mendamaikan,
Dan pusat rekreasi berkuda,
Anak sunagi yang jernih airnya,
Mengalir tenang damai ke tasik yang lain satunya,
Itulah ia Kuala Ibai.

Tempat bersantai di laman indah,
Menghampar tikar dibentang di tanah,
Di bawah teduhan yang nyaman,
Dedaunan rhu rumput dan lalang,
Melambai-lambai gembira bersama,
Sesuailah sangat jika bersantai,
Pada suatu tika di Kuala Ibai.

Namun alam indah ciptaan Tuhan,
Adakala tercemar dengan kemegahan,
Dan cerdik dalam kebodohan,
Di laluan tepian yang sunyi sepi,
Jadi tempat belangkas juga,
Ke mana-mana berkepit saja,
Walau masjid indah bersaksi di sana,
Tiada peduli walau melihatnya,
Apakah tiada rasa perasaannya?,
Bagaimana pula dengan jiwanya,
Bila melihat tepian indah menjadi pula,
Tempat memadu berkasih segala,
Apakah tiada terkesan di jiwanya?,


Tika alunan bacaan kumandang di udara,
Muda mudi di sini sana,
Apa pula dibuat sebahagiannya,
Tempat beriadah bertukar rupa,
Menjadi sarang si pelbagai rupa,
Beginikah generasi masa depan,
Jika beginilah hal keadannya,
Begitu kedaannya Kuala Ibai,
Turut menjadi tempat menibai,
Jejaka gadis ada yang tersadai.





Oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD ASY-SYALUKI,
4 Mei 2012 Masihi bersamaan ....................... Hijrah,
Jumaat, jam 11 pagi,
Kuala Ibai, Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.