Friday 19 July 2013

Usahlah dibicarakan hal semalam lagi,
Kini ia sudah dilipat dalam kenanganku,
Begitu mudahnya suatu ikatan terlerai berdebu.

Aku berpaling ke belakang kini,
Kerna di sana ada kolam kasih yang pernah memandikanku,
Dengan dinginnya air kasih sayang cinta.

Dulu kau sanggup belayar di lautan bersamaku,
Katamu begitu,
Namun kini badai ombak membuatmu kaku di pasiran pantai.

Sudahlah,
Aku menerimamu walau ku tahu kau tiada sempurna dengan keindahan,
Kerna diriku jua tiada sempurnanya,
Demi sebuah janji dahulu ku mengikatmu dengan tali.

Walau berparut penyakit sekalipun,
Aku buktikan aku menerimamu saat aku diikat denganmu,
Dengan suatu ikatan tali yang suci bersulam aqad yang sah.

Tiada ku sangka,
Ombak-ombak bayu yang menghempas gigi air,
Telah membuatmu melepaskanmu ke lautan lepas,
Sendirian dan sunyi tiada berteman lagi.

Putera yang dianugerahkan ku relakan ia bersamamu,
Walau ku sendiri menangis lantaran rindu,
Terbayang wajah mulus si kecil yang berjauhan dariku,
Namun ku pasrah jika inilah ketentuan buatku.

Kini,
Ku kembali ke 'alam sendirian,
Tanpa teman dan tanpa gurauan senda di sisi,
Andai ini bahagianku,
Biarlah.

Nasib insan yang terbuang ke sisi,
Ibarat sabut yang dihanyutkan di sungai yang deras,
Tiada peduli apa kan jadi,
Semoga kau berbahagia kembali,
Walau ku tetap sendiri dan merana begini.

Ku tiada dapat merasai kebahagiaan sejati,
Laksana orang lain yang selalu ceria bahagai di saban hari,
Biarlah..biarlah aku begini,
Meredah denai-denai duri langkahan kaki yang berduri,
Buat bekalan selepas mati.

Anakku,
Andai suatu masa ku tiada lagi di dunia ini,
Ingatlah bahawa kau mempunyai ayah yang menyayangimu,
Andaikan suatu masa kau membesar dan berdikari,
janganlah kau lupakankau di dalam diri.

19 Julai 2013....

Sunday 23 June 2013

Qasidah TAWASSALNA YA SAYYIDI



Solatullah salamullah,
'Ala sadah li ahlillah,
Salamun salamun,
'Ala kulli syaikhuna.

Duhai penghulu kami,
Rahmat Allah atasmu,
Wahai wali yang agung,,
Ya Sayyidi Ahmad Idris.

Tawassalna bi ahlillah,
Ahlidz zikri was sama'i,
Hubbun fiddunya wa akhiroti,
Ya Sayyidi Ibrahim Rasyidi.

Sambung-menyambung akan kami,
Pada sayyidi yang dikasihi,
Pada kalian kekasih Ilahi,
Ya Sayyidi Muhammad Ad-Dandarawi.

Tautkanlah hati dan jiwa kami,
Bersama syeikh yang dikasihi,
Kekasihmu yang dirahmati,
'Ala Syeikh Tahar sanad kami.

Ya Allah Ya Ilahana,
Rahmatilah peliharalah akan setiap,
Para masyaikh kami,
Hingga bersatu di akhirat.

Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Ahad, 23 Jun 2013 M = 14 Sya'aban 1434 H,
Jam 6,53 petang,
Pulau Pinang.

Saturday 15 June 2013

Pesanan buat WANITA MUSLIMAH




Engkau diciptakan Allah dengan kasih sayang-Nya,
Buat menemani Adam yang kesunyian di Syurga,
Dan ujian buat insan yang bergelar lelaki,
Dan saling melengkapi kehidupan di 'alam ini.

Keanggunan yang terpelihara padamu,
Dengan tuntutan syari'at dan akhlaq yang dijunjung,
Maka dihias padamu dengan keindahan akhlaq yang agung,
Dan penjagaan dirimu yang mulia dengan aurat yang sempurna.

Duhai wanita Muslimah,
Keindahanmu laksana bulan yang memancar indah,
Nur di wajah yang terhias dengan pancaran nur wudhu' dan ikhlas,
Dan nur zikrullah, tawadhu' dan tawajjuhmu di sa'at bersama Tuhan Ar-Rahman.

Engkau istiqomah menjaga aurat dan jasadmu daripada dipandang ajnabiah,
Sempurnakan auratmu dengan sebenar-benar kesempurnaan,
Teruskanlah engkau dalam perjalanan kebaikanmu ini,
Usahlah hiraukan akan mereka yang tiada mengerti bahkan jahil.

Wanita Muslimah,
Sesuatu yang amat mahal dan berharga itu sudah pasti ditutup dan dijaga dengan sebaik-baik penjagaan,
Maka kalian yang teristimewa dengan ciptaan kalian,
Maka jagalag sebaik-baiknya aurat, adab, dan akhlaq kalian.

Keteguhan dirimu dalam mempertahankan kebenaran,
Walau suara-suara insan yang mengejek lantaran ketinggalan bimbingan,
Jadilah umpama gunung yang berpasak kemas,
Teguhlah dengan pendirian selagi mana ia berpasak pada kebenaran dan berlapanglah dadamu dalam menghadapi khilaf yang dipandang.

Kesejukan wajah kalian menteramkan jiwa yang memandang,
Terhias dengan akhlaq yang indah,
Aku menekankan akan kalian agar sempurnakan aurat kalian,
Janganlah menjadi sebagaimana wanita yang sudah hilang malu dan maruah di jalanan.

Sesuatu yang indah itu tertutup dan sesuatu yang buruk itu terbuka,
Maka manakah pilihan kalian duhai wanita?,
Jadilah yang indah itu terus menerus,
Tiadalah yang berpesan akan kalian melainkan jiwa yang mencari jua,
Jiwa yang masih mencari didikan dan bimbingan selagi nyawa berkandung badan.

Kalian dikasihi Allah dan disayangi Sayyidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam,
Jadilah permata yang berharga di tengah timbunan pasir yang melata,
Bingkaikan diri dan jiwamu dengan kesucian,
Nescaya kebahagiaan hakiki dan ketenteraman buat kalian hingag jannah.

Kehormatanmu engkau jaga dengan sepenuh maruah dan ta'at,
Menjadi sebenar-benar wanita Muslimah lagi solehah,
Menjaga dirimu yang zahir dengan sepenuh penjagaan dan diri batinmu (ruh) juga dengan sepenuh penjagaan,
Nescaya layaklah engkau menjadi perhiasan dunia yang terindah.

Bukankah sudah bersabda akan junjungan tercinta kita,
Seindah hiasan itu wanita Muslimah,
Kalianlah wanita Muslimah yang dijanjikan,
Yang insyaAllah menempati Syurga yang bahagia.

Selagi mana kalian wahai wanita Muslimah,
Menjaga diri kalian, agama kalian, kehormatan kalian, 'ibadah dan keta'atan kalian,
Dan menjaga keta'atan kepada ibu bapa dan suami kalian,
Berserulah Tuhanmu supaya masuklah kalian ke Syurga yang bahagia dari arah pintu mana saja kalian kehendaki.

Kalianlah wanita janjian Syurga,
Pancaran cahaya yang menundukkan jiwa-jiwa,
Dengan pesona indah hiasan berharga,
Diselimuti dengan pakaian taqwa nan indah mulia.

Aduhai sekalian yang bernama wanita,
Kembalilah pada Tuhanmu Azzawajalla,
Dan jadilah sebaik-baik wanita yang beriman,
Semoga kalian akan berbahagian di Jannah.







Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
ABDUL LATIFF BIN MOHAMAD ASY-SYALUKI @ PEDANG TIMUR BERKELANA,
Sabtu, 15 Jun 2013 M = 6 Sya'aban 1434 H,
Jam 6.38 petang,
Pulau Pinang.

Wednesday 12 June 2013

Lagu SIRRI



Dirimu berdiam lena,
Sedang dalam bicara,
Dengan getaran sirri,
Memecahkan kota besi.

Berpisah dengan dunia,
Hilang di dalam diri,
Hingga tiada dirasai lagi,
Menembusi dimensi.

Menerjah ubun jati,
Sekilat panah berdiri,
Menguak zarah-zarah,
Bersimpuh di sisi.

Dinginnya madu ini,
Dan hawanya cahaya,
Mengetuk lorong jiwa,
Menghancurkan kelam noda.






Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Rabu, 13 Jun 2013 M = 4 Sya'aban 1434 H,
Jam 2.48 petang,
Pulau Pinang.

Lagu TINGGALKAN SEGALANYA



Kau tinggalkan segalanya,
Membiarkan dunia berlalu,
Tiada kau pedulikan,
Kerna kau mengerti.

Kau terus berlari,
Demi mencari-Nya,
Tanpa pedulikan dirimu sendiri,
Tiada dikira lagi.

Biar hancur luluh,
Biarkan menjadi debu-debu,
Asalkan Haq ditemui,
Melihat-Nya dalam sirri.

Kau hanya mencari Tuan segala sesuatu,
Dunia ini hanyalah rekaan,
Buat watak-watak semata,
Sedang Dialah segala.

Menyelam di lautan mardhiah,
Setenangnya kau lalui,
Demi sebuah cinta abadi,
Bersama Dia yang kau cari.








Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Rabu, 13 Jun 2013 M = 4 Sya'aban 1434 H,
Jam 2.23 petang,
Pulau Pinang.

TOK AYAH




Sesusuk tubuh tua berjalan di celahan pohon,
Tongkat di tangan kanannya dihayun kemas ke tanah,
Sambil langkahan demi langkahan lemah memijak bumi,
Sesekali angin lembut membelai jubahnya yang putih bersih,
Kakinya silih berganti melangkah,
Wajah bersihnya menenangkan saat memandangnya,
Tenang setenang air yang mengalir di aliran sungai,
Sejuk dan mendamaikan.

Tubuh tua itu terus berjalan,
Di tangan kirinya ada untaian tasbih kemuning,
Jemarinya yang mulia terus bergerak seiring zikrullah di bibirnya,
Sungguh damai dan tenang melihatnya,
Namun gah sungguh kelihatan jiwa mulia ini,
Daun-daun terbang di kakinya dengan tenang,
Hembusan angin desa membelai jiwa nan tenang.

Ku berdiri menghampirinya,
Menghormatinya dengan penuh kemuliaan kekasih,
Dia tersenyum melihatku di situ,
Terpana dan tidak tergambar dengan kata,
Hebat sungguh susuk Tok Ayah ini,
Ku menghampirinya dengan hormat,
Menyalaminya dan mengucup kasih tangannya,
Memeluk erat jiwa indah ini,
Dia memimpin tanganku ke arah bangsal tua di tepi sawah itu,
Sawah yang menghijau,
Damai,
Meliuk-liuk pokok-pokok padi mengikut haluan angin padang.

Kami duduk bersama di birai bangsal,
Sambil ku perhatikan wajahnya yang bersih dan bercahaya,
Sungguh damai menatapnya,
Benarlah menatap wajah insan soleh itu mengingatkan kita pada Ilahi,
Dia tersenyum,
Sambil meletakkan tongkat kayunya di sisi,
Dan mencapai rida' hijau yang tersisip kemas di bahunya,
Lalu mengelap peluh dingin yang membasahi wajah bersihnya,
Rida' itu diletakkan di atas pehanya.

Tasbih itu berganti tangan ke kanannya,
Sambil jemari setia menguis-nguis butiran tasbih,
Kini Tok Ayah berzikir secara sirri,
Beliau mula berkalam indah,
Kalam-kalam cinta nan syahdu,
Menuturkan padaku pesan dan wasiat,
Sesekali angin kuat menerpa wajah-wajah kami,
Dan ekor serban Tok Ayah membuai-buai diterbang dek angin,
melihat padi berombak indah,
Dan pipit-pipit berterbangan mencari padi sebagai rezekinya hari ini,
Dedaun pokok meluik-liuk manja,
Pelepah-pelepah kelapa terbang di hujung pokok,
Di kaki bangsal mengaliri air parit yang cetek,
Ikan-ikan berenang ria,
Nyamannya terasa tak terucapkan.

Tok Ayah menunjukkan ke arah sawah padi yang terbentang luas,
Dan berpaling memandangku manis dan ikhlas,
Lalu membelitkan tasbihnya di tanagn kananya,
Dan memegang lembut bahuku,
Dalam senyum beliau berkalam indah,
Cu, lihatlah apa yang ada di depanmu,
Carilah ilmu dan fahamilah ilmu,
Selagi usiamu masih muda dan ingatanmu masih kuat,
Berkelanalah ke mana saja engkau mahu,
Demi sebuah harga cinta dan cahaya ke'ilmuan yang kau dapatkan,
Dan bawalah pulang ia ke sini,
Khidmatlah untuk anak bangsamu,
Untuk agamamu,
Fahamkanlah oarang-orang sekaliannya akan agama,
Namun,
Inagtlah Cu, setinggi mana pun pengajian dan kefahamanmu,
Janganlah sekali engkau lupa,
Bahawa Dialah Allah Ta'ala yang mengurniakanmu nikmat kepandaian,
Dan Dia yang memahamkanmu,
Janganlah engkau sombong dengan ilmumu, Cu,
Janganlah engkau sentiasa merasakan dirimu sentiasa betul,
Nescaya bencanalah bagimu nanti,
Kerna engkau telah membuka pintu-pintu takabbur di depanmu.

Lihatlah,
Tok Ayah menunjukkan ke arah padi,
Ia sarat dengan buah-buah padi yang masak,
Iyu kan suatu nikmat dan kelebihan yang ada padanya,
Semakin ia berisi dan masak,
Semakin ia menunduk menerjah bumi,
Jadilah engkau sepertinya, Cu,
Medan da'wah ini bukanlah padang permainanmu,
Dan juga bukan medan perang untuk kau tunjukkan kehebatanmu,
Ia adalah tugas mulia dari Tuhanmu,
Janganlah engkau berputus asa dalam setiap jejak langkahmu,
Teruskan,
Teruskanlah setiap kata yang membawa insan kepada-Nya,
Mengenal-Nya dan Rasul-Nya ,
Bawalah manusia ke jalan hakikat dan makrifat,
Pimpinlah manusia ke jalan tasauf ihsan.

Dia memandangku penuh harapan,
Dan menepuk lembut dan tegas,
Ku mengangguk tanda faham,
Ku memandangnya dengan senyum,
Memegang tangannya dan mengucupnya,
Memeluknya tanda berkasih cinta padanya,
Memandang wajah sucinya bagaikan tidak puas,
Ingin sekali terus bersamanya di situ,
Tok Ayah mencapai rida'nya dan mengalungkannya di leherku,
Memberi hadiah itu sunnah Al-Musthofa,
Berpeganglah dan istiqomahlah atas sunnahnya, Cu,
Sambil Tok Ayah tersenyum bahagia,
Dan,
Kami sama-sama menikmati pemandangan 'alam yang damai,
Dan bersyukur di atas nikmat-Nya.






Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Rabu, 12 Jun 2013 M = 3 Sya'aban 1434 H,
Jam 3.07 petang,
Pulau Pinang.

Tuesday 11 June 2013

Lagu CARILAH



Pejamlah matamu,
Pergilah ke lubuk jiwamu,
Carilah dirmu,
Kan mengerti sebab ciptamu.

Carilah detik berwaktu,
Di sudut qolbumu,
Asalmu yang tiada,
Kau fahami melainkan mencari.

Nafi dan itsbat kau ikatkan,
Sebagai tali pegangan,
Kunci yang membukakan,
Jalan kebahagiaan.

Dan kunci 'alam,
Dengan pintu-pintu laluan,
Hingga ditemukan cahaya,
Dari jalan-jalan padam.

Sayyidul 'alam Kau ciptakan,
Dialah kunci keabadian,
Kunci Syurga-Mu,
Merafak di lantai syahadah.

Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Selasa, 11 Jun 2013 M = 3 Sya'aban 1434 H,
Jam 4.31 petang,
Pulau Pinang.

ZAHIRLAH IA



Telah hadirlah berita gembira kepada 'alam ini,
Akan kehadiran seorang mahluk yang tinggi darjatnya,
Lalu diilhamkan kepada Aminah akan suatu mimpi,
Bahawa ia (Aminah) mengandungkan seorang penghulu segala makhluk,
Penghulu yang telah dinantikan sekian lama,
Oleh dua samawi yang bersama menantikannya,
Bahawa Allah telah menzahirkan dirinya,
Ke 'alam dunia sebagai pemimpin tsaqolain,
Pembawa rahmat ke sekalian 'alamin,
Lalu,
Dengan takdir Allah Robbul 'Alamin,
Pada 12 Rabilulawwal yang mulia,
Lahirlah insan termulia yang tidak seperti insan lain akan dirinya.

Insan yang suci permata hati bonda,
Tiada sempatlah ia menatap akan wajah ayahandanya yang mulia,
Bagindalah yang membawa cahaya daripada segala cahaya,
Dan kunci kebahagiaan dunia dan akhirat kepada kita,
Dengan Islam yang sempurna dan penyempurnaan,
Kepada tauhid yang bersusur galur zaman berzaman,
Bahawa segala para Nabi dan Rasul itu,
Semuanya membawa Islam semata,
Hanya bertauhid kepada Allah dan Rasulullah (Sayyidina Muhammad saw) semata,
Dengan syari'at yang berbeza namun Islamlah semuanya.

Inilah cahaya (Sayyidina Muhammad saw) yang telah memgimamkan para arwah Anbiya' dan Mursalin yang mulia lagi suci,
Semua para arwah mulia itu mengikat (berimam) kepada sumber segala kejadian makhluk,
Kedahagaan insan kini telah terubat nyata,
Dengan datangnya ubat yang menyembuhkan jiwa-jiwa,
Dan mengalirnya kesejukan batin yang menenangkan ruh nurani insani.

Ia hadir di setiap majlis yang mengagungkannya,
Usahlah hal ini kau peningkan kepalamu,
Ruh yang suci itu bebas ke mana sahaja,
Baginda hadir di majlis maulidnya dan pengajiannya,
Beruntunglah mereka yang berada di majlis kemuliaan itu,
Laluilah hari-harimu dengan selawat salam kerinduan padanya,
Berdo'alah untuk melihatnya di dalam hidupmu sehari-hari,
Usah putus asa jika tiada kau dapatinya,
Itu kerna tiada izin-Nya lagi bagimu mentaapnya,
Atau lantaran dirimu yang kotor berpalit dosa yang menebal,
Batin yang diselaputi karat,
InsyaAllah dengan panahan cinta dan kerinduan mendalam,
Dan tawassul ke hadhrat Baginda rahmat sekalian 'alam,
Semoga Allah mengurniakan kita dengan nikmat dan kenikmatan,
Dari dunia hingga akhirat sana.







Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Selasa, 11 Jun 2013 M = 3 Sya'aban 1434 H,
Jam 4.09 petang,
Pulau Pinang.

Fasal MAULIDUL MUSTHOFA



Bilamana telah dizahirkan akan cahaya keluar dari kandungan,
Daripada rahim yang mulia seorang ibu yang termulia,
Daripada kandungan yang terpelihara dan kandungan yang tidak membebankan ibunya,
Keluarlah semulia-mulia makhluk ke 'alam dunia syahadah ini,
Lalu dengan kelahirannya 'alam amat bergembira riang dan tangisan haru makhluk dengan kelahirannya,
Cahaya yang telah dinantikan sekian zaman yang telah disebut di dalam kitab-kitab samawi,
Yang dinanti-nantikan akan kelahirannya oleh pendeta-pendeta Nasrani dan Yahudi,
Yang kelahirannya adalah cahaya yang menerangi segenap ruang 'alam ini.

Sungguh, pada zahirnya cahaya Al-Musthofa ini dari rahim ibunya Aminah,
Sembahan agung golongan kuffar Majusi telah padam,
Sembahan yang tidak pernah padam sejak sekian lamanya,
Tampaklah keriangan pada wajahnya datuknya Abdul Mutholib,
Akan kelahiran cucunda yang termulia di segenap jagat raya,
Semua saudaranya menyambut girang akan kelahirannya,
Termasuk bapa sauadaranya Abu Jahal yang menjadi penentangnya,
Bilamana bermulanya dakwah dan seruan yang haq ke atas sekalian manusia.

Bumi yang diramati Allah yakni Bakkah,
Dilahirkan-Nya seorang insan termulia yang mengatasi segala ciptaan di 'alam ini,
Baginda seorang insan namun bukan insan biasa,
Jika tidak kerananya maka 'alam ini tidak diciptakan-Nya,
Tidak diciptakan segala sumber dan hiasan-hiasan di dunia yang indah,
Adalah semata-mata buat kekasih-Nya Sayyiduna Muhammad Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam semata-mata jua,
Maka amat beruntunglah mereka yang bergembira atasnya.

Lahirlah cahaya ni dalam keadaan yatim,
Lantaran ayahnya yang mulia 'Abdullah telah menghadap pencipta sebelum kelahirannya,
Dan tiadalah Baginda tercinta dapat menatap wajah ayahnya,
Dan di saat kecil usia bayi ujian mendatang pula ke atas Baginda tercinta,
Ibu yang mulia Aminah dijemput Ilahi ke hadhrat-Nya saat berada ibunya di Abwa',
Berlalulah kesedihan-kesedihan di dalam kehidupan Baginda,
Dipeliharalah akan Baginda oleh datuk yang mulia,
Dari kalangan Bani hasyim yang mulia,
Keturunan yang suci yang tidak pernah dikotori akan nasab keturunannya,
Ibu dan ayahnya yang tercinta dari golongan Tihamah,
Dan sungguhnya Syurgalah tempat akan keduanya dan mereka yang dari kalangannya.

Ditatanglah akan Baginda bak minyak yang penuh,
Dengan penuh kasih sayang dan cinta yang mendalam,
Dan Abdul Mutholib telah dianugerahi dengan korban sembelihan,
Sebagai ganti nazarnya untuk menyembelih 'Abdullah,
Sungguh dengan kemuliaan Sayyiduna Muhammadlah didapati akan kemuliaan ini,
Disayangi yang amat oleh bapa-bapa saudaranya,
Lantaran cinta sayang mereka padamu Ya Rasulullah,
Engkaulah bintang yang datang ke tengah 'alam di saat suramnya 'alam,
Menerangi dun ia dan hati-hati yang kelam.

Di 12 Rabilulawwal yang mulia itu,
Dirimu dizahirkan Allah ke atas muka bumi ini,
Melengkapi sekalian para Anbiya' dan Mursalin,
Penutup yang sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk,
Bagindalah permulaan 'alam ini dari curahan Nur Muhammad yang agung,
Maka terciptalah segala apa yang disaksikan mahupun ghaib di jagat raya ini,
Ya Rasulullah, kelahiranmu adalah janji Tuhan.

Allahumma Sholli Wasallim Wabarik 'Alaih

Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Ahad, 9 Jun 2013 M = 30 Rejab 1434 H,
Jam 11.45 pagi,
Pulau Pinang.

Monday 10 June 2013

Lagu TABIR MIMPI



Malam berlabuh lagi,
Insan kini sudah sepi,
Hanyut diulit cerita mimpi,
Kembara ruh sendiri.

Dia terbang di alam seni,
Kembali mencari diri,
Di sebalik tabir mimpi,
Kembara membawa diri.

Dilihatnya hakikat cipta,
Kewujudan keesaan,
Termenung memikiri,
Inilah diriku, asalku.

Ruh adalah asalku,
Yang halus berseni,
Tanpaku tiada makna,
Sedang tubuh kasar hancur jua.

Tabir mimpi ini,
Membawaku keluar dari dinding,
Terbang ke 'alam tinggi,
Mengenal asal diri.

Ku telah berjanji dengan Tuhanku,
Di 'alam ruh dahulu,
Ku kembali ke sana,
Mencari diriku.

Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Isnin, 10 Jun 2013 M = 1 Sya'aban 1434 H,
Jam 6.04 petang,
Pulau Pinang.

Saturday 8 June 2013

Lagu BERSAMA-MU



Ku ingin bersama-Mu,
Tidak ingin berjauhan dari-Mu,
Jangan berpisah dengan-Mu,
Bersama-Mu tiap waktu.

Kau memberiku kunci,
Membuka pintu rahsia,
Dan jejak-jejak tangga,
Bersama pemegang bersama.

Ku berpaut di akar-akar kejap,
Yang berakar hingga tunjang,
Berdikit menginjak tunas,
Menggapai pucuk segar lazat.

Menuju-Mu bukan mudah,
Tergelincir di kelicinan selut,
Dan lumut-lumut yang tebal,
Teruji dengan mehnah.

Namun Kau memberiku,
Kekuatan yang hanya dari-Mu,
Kerna tanpa qudrah-Mu,
Aku ini tiada apa hanya ketulan semata.

Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Sabtu, 8 Jun 2013 = 29 Rejab 1434 H,
Jam 2.22 petang,
Pulau Pinang.