Wednesday 21 November 2012

ZIARAHKU PADAMU TOKKU PALOH


Hari ini,
Dalam renyai hujan,
Ku menziarahi maqam auliya',
Menghubung silaturrahim,
Dengan kekasih Allah yang mulia.

Ya Sayyidinal Imam,

Di maqammu ku berdiri,
Mengalunkan Al-Fatihah,
Buat moyangmu yang termulia,
Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam yang tercinta,
Juga buatmu wahai wali Allah,
Yang sangat mulia kedudukannya,
Sebak saat ku menatap maqammu.

Di saat ku alunkan,

Qasidah Salamullah Ya Sadah Minar Rohmani Yaghsyakum,
Akan tertib ziarah maqam auliya',
Berdiri insan kerdil nan hina ini,
Di sisi maqammu yang mulia,
Denganmu ku bertawassul,
Mengharap berkah dan rahmah,
Agar insan kerdil hina ini,
Diampunkan dosa-dosanya.

Ya auliya' Allah,

Wahai Tokku Paloh,
Yang indah namamu,
Sejarah Darul Iman ini,
Mekar subur dengan namamu,
Wahai wali llah yang dikasihi.

Ku ziarah maqammu,

Di situ ada cinta,
Di situ ada rindu,
Di situ ada kehidupan,
Kerna wali Allah itu,
Hakikatnya hidup walau,
Jasad mulianya tiada lagi bernyawa.

Di sisi ku ungkapkan cinta,

Selawat salam pada moyangmu,
Ku alunkan seindah cara,
Agar hati dan nuraniku,
Tertusuk dan dibenamkan rasa rindu,
Pada junjungan Al-Musthofa,
Dan Ahlul Baitil Musthofa Ath-Thuhuri,
Agar dengan cinta tulus padamu,
Menjadi wasilah kasih Tuhanku.

Ya waliyullah,

Ya Tokku Paloh,
Namamu ku sebut dalam do'aku,
Tawassulku dengan namamu yang mulia,
Wahai Sayyidi 'Abdul Rahman ibn Sayyid Muhammad Al-Idrus,
Duhai kecintaan ummat,
Duhai gandingan mulia,
Sultan Zainal 'Abidin III.

Ya Allah,

Saksikanlah ku ziarahi maqam kekasihmu,
Kerana cinta kasihku,
Pada auliya'-Mu,
Biar orang mengata,
Untuk apa diziarahi,
Untuk apa dijejak maqam itu,
Kerana di situlah rahmat Allah,
Kerna dia bersemadi tapi bernyawa,
Lebih baik ku ziarahi insan,
Yang bersemadi tapi hidup,
Daripada ku ziarahi insan hidup,
Tapi bersemadi.

Lautan cinta itu,

Takkan kau renangi wahai insan,
Tanpa mahabbah pada Rasulullah,
Dan Ahlul Baitnya yang suci,
Mengertilah kau akan hakikat itu,
Pasti kau akan memahami.

Wahai Tokku Paloh,

Ku tutupi kalam bicaraku,
Dalam diam ku mengalun rindu,
Menatap kelambu maqam hijaumu,
Saat ku mengalunkan qasidah itu,
Ku merasakan kehadiran,
Sejuk ku rasakan diriku,
Semoga Allah merahmatimu,
Minad dunia ilal jannah,
Ya sayyidi,
Salamullah Ya Sadah Minar Rohmani Yaghsyakum.



Karangan oleh:

PEDANG TIMUR BERKELANA,
Rabu, 7 November 2012 M,
Jam 9.40 pagi,
di maqam Tokku Paloh,
Kampung Paloh,
Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.
 

No comments:

Post a Comment