Friday 23 November 2012

TANAH KESUNYIAN

Ku jejaki tanah kesunyian,
Yang sunyi dari kehidupan dunia,
Yang kacau dan pesona,
Di sini insan-insan bersemadi,
Dalam diam tanah yang kering,
Bertemankan binatang dan ulat,
Sepi,
Sendirian jua sendiri,

Bahagiakah atau celakakah,
Tiada yang ketahui.

Tanah kesunyian ini,
Bersemadi pelbagai darjat,
Mulia nan tiada,
Yang menjejaki tanah itu,
Moga insaf jua kedapatan,
Di atas tandus pasiran,
Dan nesan memacak kuburan,
Tanda si semadi.

Ku ziarahi tanah itu,
Agar hatiku tiada lena dalam layu,
Agar ia ingat,
Ke sinilah tempatku wahai diri,
Ku ziarahi maqam auliya',
Kerna bersemadi kekasih cinta Allah,
Yang bercahaya di dalam bahagia,
Di kuburnya yang mewangi,
Yang diziarahi itu 'hidup',
Yang menziarahi ini pula 'mati'.

Tanah kesunyian ini,
Semadi sekalian manusia,
Hanya sendiri tanpa harta,
Dan penghibur hati yang suka,
Sesunyi kuburan,
Itulah sesunyi tanah ini,
Kan kembali sekelian kita,
Ke tanah ini,
Tika hidup berziarah,
Kan tiba kita pula diziarah.

Karangan oleh:
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Sabtu, 10 Muharram 1434 H = 24 November 2012 M,
Jam 3.40 petang,
Georgetown,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment