Tuesday 11 June 2013

ZAHIRLAH IA



Telah hadirlah berita gembira kepada 'alam ini,
Akan kehadiran seorang mahluk yang tinggi darjatnya,
Lalu diilhamkan kepada Aminah akan suatu mimpi,
Bahawa ia (Aminah) mengandungkan seorang penghulu segala makhluk,
Penghulu yang telah dinantikan sekian lama,
Oleh dua samawi yang bersama menantikannya,
Bahawa Allah telah menzahirkan dirinya,
Ke 'alam dunia sebagai pemimpin tsaqolain,
Pembawa rahmat ke sekalian 'alamin,
Lalu,
Dengan takdir Allah Robbul 'Alamin,
Pada 12 Rabilulawwal yang mulia,
Lahirlah insan termulia yang tidak seperti insan lain akan dirinya.

Insan yang suci permata hati bonda,
Tiada sempatlah ia menatap akan wajah ayahandanya yang mulia,
Bagindalah yang membawa cahaya daripada segala cahaya,
Dan kunci kebahagiaan dunia dan akhirat kepada kita,
Dengan Islam yang sempurna dan penyempurnaan,
Kepada tauhid yang bersusur galur zaman berzaman,
Bahawa segala para Nabi dan Rasul itu,
Semuanya membawa Islam semata,
Hanya bertauhid kepada Allah dan Rasulullah (Sayyidina Muhammad saw) semata,
Dengan syari'at yang berbeza namun Islamlah semuanya.

Inilah cahaya (Sayyidina Muhammad saw) yang telah memgimamkan para arwah Anbiya' dan Mursalin yang mulia lagi suci,
Semua para arwah mulia itu mengikat (berimam) kepada sumber segala kejadian makhluk,
Kedahagaan insan kini telah terubat nyata,
Dengan datangnya ubat yang menyembuhkan jiwa-jiwa,
Dan mengalirnya kesejukan batin yang menenangkan ruh nurani insani.

Ia hadir di setiap majlis yang mengagungkannya,
Usahlah hal ini kau peningkan kepalamu,
Ruh yang suci itu bebas ke mana sahaja,
Baginda hadir di majlis maulidnya dan pengajiannya,
Beruntunglah mereka yang berada di majlis kemuliaan itu,
Laluilah hari-harimu dengan selawat salam kerinduan padanya,
Berdo'alah untuk melihatnya di dalam hidupmu sehari-hari,
Usah putus asa jika tiada kau dapatinya,
Itu kerna tiada izin-Nya lagi bagimu mentaapnya,
Atau lantaran dirimu yang kotor berpalit dosa yang menebal,
Batin yang diselaputi karat,
InsyaAllah dengan panahan cinta dan kerinduan mendalam,
Dan tawassul ke hadhrat Baginda rahmat sekalian 'alam,
Semoga Allah mengurniakan kita dengan nikmat dan kenikmatan,
Dari dunia hingga akhirat sana.







Karangan oleh:
Al-Faqir Ilallah,
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Selasa, 11 Jun 2013 M = 3 Sya'aban 1434 H,
Jam 4.09 petang,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment