Sunday 27 January 2013

SENYUMAN RASULULLAH

Bismillahirrahmanirrahim,
Innallahawamalaaikatahu yushollu na 'alan Nabi ya ayyuhalladzi na amanu shollu 'alaihi wasallimu taslima.


Wajah yang amat sempurna lagi indah terang bercahaya,
Bulan purnama yang amat indah dan tidak jemu dipandang walau bertahun lamanya,
Pandangan matanya yang amat mulia itu memandang dengan penuh kasih dan rahmat akan para sahabatnya dan ummatnya,
Wajah inilah yang sentiasa teersenyum manis ibarat cairan madu yang mengubati keresahan hati,
Yang terhias pada sifat diri dan peribadinya akan segala akhlaq yang terbaik lagi terpuji,
Bagindalah (saw) yang terpuji itu, yang bernama Ahmad (saw),
Yang amat lembut dalam kehidupan Baginda (saw) dan memikat hati insan-insan yang melihatnya mahupun tidak.

Sungguh indah senyumanmu wahai bulan purnama yang amat terang,
Dalam senang dan sukacita engkau menguntumkan senyuman wahai buah hati,
Jua dalam keresahanmu dirimu sentiasa senyum wahai Rasulullah (saw) yang dirindui,
Terhiaslah keindahan pada wajahmu yang amat mulia itu dengan cahaya yang terpancar,
Dari barisan gigimu yang bersinar terang dengan cahaya,
Cahaya yang memancar memutih bersama kemuliaan gigimu ya Rasulullah (saw),
Yang membias ke mana sahaja ia menghaladengan penuh tenang dan bahagianya.

Sungguh wahai Rasul (saw) wajahmu amat menenangkan dan membuatkan hati pencintamu merinduimu sentiasa,
Hinggakan titisan air mata jernih mengaliri kelopak mata mengenangkan dan sakit tatkala merinduimu duhai Rasul (saw),
Senyuman adalah penawar dan at-thibb yang menghilangkan keresahan,
Dan menghilangkan kesakitan zahir dan batin yang memandangmu,
Benarlah bahawa segala al-Quran itu adalah akhlaqmu Rasul (saw),
Yang terpuji lagi banyak dipuja puji sepanjang zaman,
Engkau yang sentiasa senyum dan amat mengasihi teman-temannya.

Senyuman indah itu bercahaya lagi dengan wajah yang amat menenangkan,
Kerana dirimulah cahaya segala cahaya,
Nurun 'ala nur yang terzahir ke muka dunia dengan segala kesempurnaannya,
Dirimu (saw) telah bersabda akan hal itu,
Bahawa senyuman itu adalah suatu sedeqah,
Maka kami ummatmu mengikuti jejakmu sedaya dan semampu mungkin wahai Rasul (saw),
Untuk berjalan dalam 'amalan sunnahmu dan sentiasa menguntumkan senyuman pada insan,
Senyuman seorang insan pada insan lainnya mampu mengubati jiwa insan itu.

Sungguh dalam terang sinar wajahmu duhai Ahmad (saw) ada senyuman yang amat menawan hati,
Iaitu cahaya dari mulut dan bibir yang sangat mulia,
Senyuman yang membuatkan para perindu dan pencintamu sentiasa hanyut dalam kerindduan yang amat kerinduan,
Wahai ummat Baginda (saw) untuk hidup sebagaimana Baginda (saw),
Dalam perjalanan hidup yang indah bersulamkan sunnah yang mulia,
Duhai ummat Baginda (saw) senyumlah dan senyumlah.

Allahumma sholli wasallim wabarik 'alaih.






Karangan oleh:
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Isnin, 16 Rabiulawwal 1434 Hijriyyah bersamaan 28 Januari 2013 Masihi,
Jam 8.47 pagi,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment