Saturday, 29 September 2012

AULIYA' MUTIARA INSAN

Ketahuilah olehmu saudaraku,
Akan bahawa wali-wali Allah itu,
Adalah kekasih-kekasih Tuhan Azzawajalla,
Yang tinggi maqamnya di sisi Tuhannya.

Tiadalah engkau dapati pada mereka itu,
Rasa ketakutan dan kesedihan,
Dan kegerunan pada makhluk,

Apalagi tunduk kepada makhluk pula.

Qolbu mereka sentiasa hidup dan segar,
Dengan nama Allah yang sentiasa berdetik,
Setiap nafas yang bersamanya,
Dan gerakan saraf dan darahnya pula.

Bercahaya wajah mereka itu,
Dengan nur yang amat indah,
Wajah lambang kesolehan dan taqarrub,
Jua 'abid mereka kepada Allah.

Lisan-lisan mereka sentiasa basah,
Dengan zikrullah yang zhouq,
Untaian kata penuntun hati bak mutiara,
Hingga meruntuhkan keegoan insan.

Merekalah insan yang dekat,
Dan tinggi kedudukannya di sisi Allah,
Membenci dan mengkhianati mereka,
Adalah Allah isytiharkan perang atasmu.

Sungguh kemuliaan padanya anugerah,
Akan karomah yang mulia,
Dari sisi-Nya yang terindah,
Wahai para auliya' Allah.

Hati-hati kami tenang bahagia,
Memandang ketenangan wajahmu,
Dan cahaya yang menghiasi wajahmu,
Wahai insan solihin.

Hilangmu mendukacitakan insan,
Para wali itu kemuliaan,
Namun di akhir zaman ini,
Kehilangan waliyullah tiada diambil peduli.

Barokah para waliyullah,
Yang sentiasa segar dan mewangi,
Bertabarruk pada mereka,
Mengharap kasih Ilahi.

Manusia semakin alpa dan lupa,
Akibat penyakit keseronokan dunia semata,
Yang memuliakan artis dan menghinakan waliyullah,
Sungguh suatu kejelikan yang nyata.

Aduhai insan sekalian,
Kasihilah para wali dan ulama' itu,
Merekalah mutiara-mutiara indah,
Yang ada di kalangan kamu.

Karangan oleh:
PEDANG TIMUR BERKELANA,
Ahad, 14 Dzulqaedah 1433 H = 30 September 2012 M,
Jam 7.45 pagi,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment