Friday 19 July 2013

Usahlah dibicarakan hal semalam lagi,
Kini ia sudah dilipat dalam kenanganku,
Begitu mudahnya suatu ikatan terlerai berdebu.

Aku berpaling ke belakang kini,
Kerna di sana ada kolam kasih yang pernah memandikanku,
Dengan dinginnya air kasih sayang cinta.

Dulu kau sanggup belayar di lautan bersamaku,
Katamu begitu,
Namun kini badai ombak membuatmu kaku di pasiran pantai.

Sudahlah,
Aku menerimamu walau ku tahu kau tiada sempurna dengan keindahan,
Kerna diriku jua tiada sempurnanya,
Demi sebuah janji dahulu ku mengikatmu dengan tali.

Walau berparut penyakit sekalipun,
Aku buktikan aku menerimamu saat aku diikat denganmu,
Dengan suatu ikatan tali yang suci bersulam aqad yang sah.

Tiada ku sangka,
Ombak-ombak bayu yang menghempas gigi air,
Telah membuatmu melepaskanmu ke lautan lepas,
Sendirian dan sunyi tiada berteman lagi.

Putera yang dianugerahkan ku relakan ia bersamamu,
Walau ku sendiri menangis lantaran rindu,
Terbayang wajah mulus si kecil yang berjauhan dariku,
Namun ku pasrah jika inilah ketentuan buatku.

Kini,
Ku kembali ke 'alam sendirian,
Tanpa teman dan tanpa gurauan senda di sisi,
Andai ini bahagianku,
Biarlah.

Nasib insan yang terbuang ke sisi,
Ibarat sabut yang dihanyutkan di sungai yang deras,
Tiada peduli apa kan jadi,
Semoga kau berbahagia kembali,
Walau ku tetap sendiri dan merana begini.

Ku tiada dapat merasai kebahagiaan sejati,
Laksana orang lain yang selalu ceria bahagai di saban hari,
Biarlah..biarlah aku begini,
Meredah denai-denai duri langkahan kaki yang berduri,
Buat bekalan selepas mati.

Anakku,
Andai suatu masa ku tiada lagi di dunia ini,
Ingatlah bahawa kau mempunyai ayah yang menyayangimu,
Andaikan suatu masa kau membesar dan berdikari,
janganlah kau lupakankau di dalam diri.

19 Julai 2013....